Jusnita tidak takut bersaing dengan lelaki yang lebih dulu kuasai perniagaan pengangkutan kenderaan
LAZIMNYA, apabila melihat kenderaan berat yang membawa deretan kereta di atasnya atau dipanggil 'car carrier', pasti terlintas di fikiran, bidang itu diterajui lelaki yang bukan calang-calang orangnya. Namun, hari ini tiada yang mustahil apabila perniagaan itu turut dikendalikan wanita.
Berbanding wanita lain yang sering memilih bidang kecantikan atau fesyen sebagai perniagaan, Jusnita Hassan menyahut cabaran mengendalikan perniagaan itu yang membabitkan penggunaan lori atau trak bagi mengangkut kenderaan dari satu destinasi ke destinasi.
Jusnita mengakui beliau gemar membuat kejutan terutama dalam bidang yang dianggap tidak sesuai dilakukan wanita. Akuinya, apabila berjaya melakukan bidang yang kebanyakan pesaing terdiri di kalangan lelaki, ia adalah satu kepuasan walaupun terpaksa meluangkan masa lebih untuk kerja.
“Bidang pengangkutan kenderaan berat (car carrier) dilihat sebagai bidang yang serasi dengan dunia lelaki, malah tidak dinafikan kebanyakannya didominasi golongan itu. Justeru, tidak ramai wanita yang tahu mengenainya atau ingin menceburi bidang berkenaan.
“Persaingan sengit, perlu menjalankan tugasan sebaik mungkin di samping berdepan dengan desakan masa menyebabkan saya memilih bidang itu. Tekanan pekerjaan yang perlu diimbangi dengan bijak tidak menjadi perkara yang boleh menghalang untuk terus mara. Saya tidak suka kerja yang hanya ‘cukup makan’ saja kerana bagi saya ia adalah pembaziran ketika usia muda yang dihabiskan begitu saja,” katanya ketika ditemui di pejabat yang menempatkan lori car carrier di Bukit Beruntung, Selangor, baru-baru ini.
JUSNITA bersama kakitangan yang majoritinya lelaki. |
Wanita berusia 36 tahun itu, terbabit dalam perniagaan pengangkutan kenderaan sejak lapan tahun lalu bermula dengan dua lori pembawa kereta tanpa sebarang pinjaman kewangan. Pelanggan ketika itu adalah syarikat permotoran Naza dan Schenker. Apabila permintaan semakin banyak, dua tahun kemudian beliau mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan bersama abangnya dan kini mempunyai 13 lori pembawa kenderaan.
Beliau bukan saja fokus kepada satu perniagaan, malah kini Jusnita adalah pemegang saham syarikat Inter Trans Haulage Sdn Bhd dan juga bertindak sebagai Ketua Pengarah Pemasaran Maju Murni Jaya Sdn Bhd. Selain itu, Jusnita juga Pengurus Pembangunan Perniagaan untuk CITO Holding Sdn Bhd sejak memutuskan untuk bergabung dengan CITO Holdings Sdn Bhd bagi mengembangkan lagi perniagaannya dalam bidang pengangkutan kenderaan.
Menceritakan latar belakang bidang yang diceburinya itu itu, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, Car Carrier ialah sejenis lori pengangkutan penghantaran kenderaan. Terdapat dua jenis lori iaitu trailer panjang dan rigid. Perbezaan kedua-dua lori itu ialah kuantiti kereta yang boleh dibawa.
Destinasi penghantaran syarikatnya di seluruh semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand. Pelanggan syarikatnya pada masa ini ialah Perodua Sales Sdn Bhd, Daihatsu Malaysia, Tasco Berhad, Gmart Kajang, Zagma (Petra Motors), Goba Brothers, Fu Ling Trading dan beberapa lagi syarikat kenderaan lain.
GAYA anggun serlah kewanitaan Jusnita. |
Dalam perniagaan pengangkutan kenderaan yang dikendalikan, beliau bukan saja membabitkan pengurusan manusia, malah operasi, kewangan, logistik dan semua pengurusan lain yang perlu dipantau. Bermula dari lori itu berjalan hinggakan kepada proses pembayaran.
“Mental dan fizikal perlu kuat kerana kerja menjaga lori tidak mengikut masa. Cabaran dalam dunia pengangkutan memang banyak, terutama pemandu lori. Ada yang mencuri hinggakan kepada yang bawa lari lori.
“Saya juga terpaksa berdepan dengan kerenah pelanggan, ditipu, lori kemalangan dan bermacam-macam lagi. Namun, saya bernasib baik kerana dibantu Pengurus Operasi, Ghani Kadir yang banyak berjasa.
“Bagaimanapun, waktu paling teruk apabila tiga lori syarikat ditenggelami air ketika banjir besar melanda Johor, empat tahun lalu. Kerosakan lori membabitkan kos membaiki mencecah hingga ratusan ribu ringgit, malah tempoh untuk baik pulih juga memakan masa sehingga dua tahun baru boleh berfungsi semula,” katanya.
Katanya, sebagai ketua, beliau perlu sentiasa terus berfikir dan tidak boleh cepat putus asa serta banyak bersabar. Kadangkala masalah yang datang agak sukar ditangani kerana ia berterusan. Sekiranya tidak dapat ditangani, beliau akan merujuk ayah dan abangnya.
Ditanya mengenai prospek wanita bekerjaya pada masa kini, Jusnita tidak menafikan ramai wanita yang lebih berjaya daripada lelaki kerana wanita semakin matang dengan pencapaian kegiatan ekonomi, politik dan sosial yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Saya lihat ia sebagai satu penghormatan kepada wanita. Bukan senang bagi kita untuk berjaya sebab halangan dan risiko yang perlu dilalui memang banyak. Bagi saya, kita perlu jalan seiring dengan lelaki dan bukan lebih daripada mereka.
“Apa juga yang dilakukan setiap individu adalah mengikut landasan yang ditetapkan disertai dengan gaya dan usaha seseorang itu melaksanakan tugas,” katanya yang mengakui seronok mempunyai wang hasil titik peluh sendiri.
Berkongsi kejayaan dan pencapaiannya, Jusnita berkata, seseorang itu perlu mempunyai keyakinan diri, keinsafan serta keberanian untuk mencuba. Banyak peluang yang boleh direbut wanita asalkan sanggup mencuba dan bekerja keras.
Selain itu, katanya, wanita juga perlu bersedia menghadapi risiko dan sentiasa berfikiran terbuka demi mengejar cita-cita dan harapan masing-masing. Paling penting ialah lindungi hak dan kepentingan diri sendiri supaya tidak mudah diperalat atau diperlekeh oleh orang lain.
1 comment:
:) :) :)
Post a Comment