
SEBELAS bulan lalu untuk tahun 2009, jejaka berusia 27 tahun ini melakar warna putih dalam sisi kariernya. Dia memberi palitan warna cantik berserta rasa, sedikit demi sedikit buat penonton terhadap bakat lakonannya.
Setiap langkah disisipi dengan warna pelangi yang berlainan. Dia tahu itu akan membuatkan bakatnya diterima ramai dan nawaitunya mahu dikenali sebagai Remy Ishak, seorang pelakon.
Namun, siapa sangka derap kaki yang awalnya lincah bergerak, berjalan dan berlari pantas tersadung dek batu kecil yang mencalar perjalanan.
Itulah situasi seorang Remy Ishak sekarang. Dalam bersyukur merenung kembali perjalanan yang cantik diberikan tuhan, dia tahu kini dia diuji hanya untuk mengingatkan dirinya.
"Dahulu saya sibuk jaga hati orang. Jaga hati yang di sana, jaga hati yang di sini. Tetapi siapa sebenarnya yang jaga hati saya? Tiada.
"Jadi, tahun hadapan akan bermula dengan satu azam baru. Saya malas mahu menjaga hati orang lagi. Biarkan sahaja semuanya. Yang penting karier dan perjalanan hidup saya," katanya tegas dengan kepala menunduk ke bumi.
Sana sini orang bercakap tentang Remy Ishak, mangsa pukul akibat cinta yang berlainan darjat dengan pelakon Ummi Nazeera baru-baru ini.
Dia tahu selepas umum mengenalinya sebagai Adam Nur Kasih dan hero teater Natrah, kini semua orang lebih tertumpu kepada situasi mangsa pukul tersebut. Tiba-tiba suasana jadi hangat dan nama Remy naik mendadak.
"Saya tidak menduga semua ini berlaku. Saya terima sahaja pandangan orang luar yang menyokong saya atau sebaliknya.
"Saya tidak mampu buat apa-apa kerana ini ujian buat saya. Saya harap saya pandai menanganinya dan belajar daripada apa yang berlaku," luahnya.
Apa pun, diari 2009 Remy ditutup dengan tumpahan tinta hitam. Baginya, dia enggan bergelumang dengan drama dalam kehidupan realiti. Cukup hanya berlakon untuk mencari makan dan bukan dalam perjalanan hariannya sebagai manusia. Dia nekad tidak mahu menyusahkan hati keluarga, malah hatinya sendiri.
"Saya tidak mahu susah-susahkan diri lagi," ungkapnya yang mengakui sedikit terganggu dengan peristiwa itu.
Siapa Remy?
Umum terbawa watak Adam (Nur Kasih), tersinggah dan melekat terus dalam fikiran bahawa begitu agaknya si Remy - penuh cinta.
Dia ketawa. Saya cuba menelanjangkan dirinya yang sebenar. Jejaka yang mula muncul di layar lebar menerusi filem Anak Halal arahan Osman Ali ini tersenyum lagi.
"Saya seorang yang suka berfikir, jadi saya kelihatan serius. Reaksi muka saya menampakkan saya garang, pada hal tidak. Remy Ishak juga seorang yang bertanggungjawab dan saya akan lakukan sesuatu perkara sampai menjadi," tegasnya.
Menyelami jauh pemikiran, saya bertanya apa yang ada dalam fikirannya itu sehingga tekun setiap waktu memikir. Jawab Remy: "Saya fikirkan tentang kerjaya, masa depan dan perjalanan hidup.
"Saya takut tidak menjadi, lalu saya harus fikir dan rancang satu persatu. Saya letakkan keyakinan dalam diri tetapi dalam masa yang sama masih mencari."
Pelakon drama Awan Dania ini juga mengaku dia tidak punya ramai kawan. Cukup hanya yang berada baik di sekelilingnya. Begitu pun, dia juga tidak ada musuh.
"Saya tidak banyak bercakap jika berjumpa orang ramai. Ini mungkin kerana pengalaman lalu yang mengajar saya supaya berhati-hati bila berkawan. Saya hidup dalam dunia saya sendiri.
"Saya ada pengalaman sendiri yang buat saya jadi begitu, juga pandangan saya terhadap pengalaman kawan-kawan," akuinya yang merasakan hidupnya berdagang di kehidupan kota lantaran itu mengapa harus mencari musuh.
Saya tanya dia lagi, adakah selepas peristiwa ditumbuk dan kononnya 'putus cinta' itu membuatkan dia seorang yang rapuh.
Remy tersenyum manis sebelum menuturkan jawapan: "Saya lebih bersemangat. Seperti yang saya katakan, dulu ada kekangan dalam hidup.
"Ada perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat lantaran berada dalam perhubungan. Semangat lama saya terhenti seketika. Tetapi kini semangat itu datang kembali dan inilah saya yang akan bangkit terus untuk perjuangan hidup saya."
Tiada masalah disiplin
Selepas asyik tersenyum, Remy tiba-tiba terkejut apabila saya terjah dia dengan cerita tentang masalah disiplinnya. Ada khabar yang mendakwa Remy suka menerima pelbagai tawaran dalam satu masa hinggakan dia gagal membawanya dengan sempurna.
Beritahu Remy, itulah pertama kali dia mendengar tentang perkara itu. Dalam nada masih terkejut, dia menjelaskan: "Saya jenis orang yang akan mengambil cuma satu kerja dalam satu masa. Rasanya tidak wujud masalah banyak kerja yang saya ambil. Cuma ketika terbabit dengan teater Natrah saya terlibat juga dengan satu drama.
"Saya hairan bila cerita sebegini keluar. Justeru, kalau saya tidak mahu membuat sebarang sesi fotografi dengan mana-mana penerbitan, itu mungkin kerana saya tidak ada cerita yang mahu dikeluarkan seiring dengan kerja saya.
"Saya tidak mahu cerita saya bersepah-sepah bukan kerana bakat," ujarnya yang sering mengingati nasihat kawan baiknya, pelakon Bront Palare yang sama-sama berjuang mahu menjadi artis berkualiti.
Usai ketekunan dalam Natrah, Remy terus meresap masuk ke dalam karakter Atan, anak kampung yang bertemu dengan wanita bandar lakonan Maya Karin. Selepas bergandingan dalam Natrah, Remy dan Maya sekali lagi berpadu bakat dan aura - kali ini di layar lebar.
Gandingan ini berpayung di bawah arahan Osman Ali untuk filem Cun yang memulakan penggambaran di Alor Setar, Kedah pada hari ini, 20 Disember. Dia cukup teruja kembali berlakon di bawah asuhan Osman, salah seorang pengarah yang mencungkil bakat lakonannya.
Akhirnya, saya tanyakan Remy satu soalan mewakili kaum Hawa, adakah Remy ini seorang lelaki 'jiwang'?
Tawanya deras. "Ya, saya jiwang karat." Sambungnya selepas berhenti ketawa: "Tidaklah. Saya lelaki normal dan biasa sahaja. Tetapi sebenarnya untuk orang luar mengenali saya adalah dengan merapati saya.
"Hanya yang terpilih akan dapat mengenali saya. Saya cuma mahukan seorang perempuan yang mempunyai hati yang baik." Usai sudah luahan rasa dari lubuk hatinya itu, Remy kemudian meminta diri untuk pulang meneruskan rutinnya.
No comments:
Post a Comment